PELABUHAN KLANG, 4 OGOS: Laporan kewangan terkini dari Jabatan
Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan rezab Kerajaan
Negeri Selangor terus meningkat dari RM2.7 bilion sebelum ini kepada
hampir mencecah RM3 bilion.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, wang rezab itu
kemudiannya akan diuruskan mengikut satu garis panduan yang akan
diumumkan dalam Belanjawan 2014 pada bulan November akan datang.
“Dalam Belanjawan November nanti kita akan terangkan bagaimana kita
mentadbirkan rezab negeri, bagaimana penggunaannya jika perlu.
“Hanya lima tahun lepas kita asyik sibuk memastikan simpanan kita
terkumpul, baru kali ini kita dah ada simpanan terkumpul dan sekarang
kita boleh buat beberapa program menggunakannya dengan lebih tertib dan
lebih efisyen,” kata Abdul Khalid .
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Shopping Bantuan Raya di Pasaraya Besar Econsave, Pandamaran di sini.
Ujar, Abdul Khalid memberitahu pada ketika ini Kerajaan Negeri tidak
menetapkan sasaran jumlah tertentu yang perlu ada dalam rezab Kerajaan
Negeri.
Sebaliknya menurut beliau, jumlah rezab tersebut bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
“Terpulang pada keadaan ekonomi negeri, kalau ekonomi meningkat,
hasil negeri meningkat dan tentulah simpanan negeri dipertingkatkan.
“Ekonomi ini ada turun naik, kalau ekonomi turun kita boleh gunakan
rezab ini untuk menolong Kerajaan Negeri dalam pentadbiran,” ujar Abdul
Khalid lagi.
0 comments:
Post a Comment