PELABUHAN KLANG, 4 OGOS: Program pemberian kupon membeli belah
bernilai RM100 bagi Program Jom Shopping sempena perayaan akan
diperkemaskan lagi bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang
berkemampuan mendapat manfaat dari program ini.
Tindakan tersebut diambil selepas Kerajaan Negeri mengambil kira
maklum balas yang diterima berhubung komposisi sesuatu kaum yang berbeza
di setiap kawasan DUN di Selangor.
Selain itu, Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
program yang diperluaskan bagi perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali
ini juga akan dijadikan program tahunan dan peruntukkannya akan
dimasukkan di dalam belanjawan tahunan Kerajaan Negeri.
“Ada sesetengah DUN, peratus komposisi masyarakat Islam sangat
berlebih dan ada sesetengah DUN, peratus komposisi masyarakat Islamnya
kecil, jadi program ini akan diperkemaskan lagi boleh diagihkan dengan
lebih baik dengan kadar yang lebih teratur.
“Pada tahun hadapan mungkin kita akan membuat beberapa perubahan atau
penyesuaian terutama selepas ini kita akan menyambut Tahun Baru Cina
dan Deepavali dan ini akan menyebabkan lebih ramai mempunyai peluang
untuk masuk jadi perserta,” ujar Abdul Khalid kepada TV Selangor di
sini.
Pada masa ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan seramai 500 penerima bagi setiap 56 DUN di Selangor.
Terdahulu di Pasaraya Besar Econsave Pandamaran, Pelabuhan Klang hari
ini, seramai 200 peserta dari golongan kurang berkemampuan menyertai
program Jom Shopping sempena Hari Raya Aidilfitri fasa ke dua peringkat
DUN Pelabuhan Klang.
Pada 27 Julai lalu, seramai 300 peserta turut mengambil bahagian dalam fasa pertama program sama.
Beberapa perserta program itu ketika ditemui TV Selangor memberitahu
program tersebut banyak membantu golongan kurang berkemampuan untuk
membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Bantuan ini memang membantu kami untuk meringankan beban perbelanjaan kami,” kata Norlela Omar, 37 tahun dari Pulau Indah.
Sementara itu, Yassin Shamsuddin, 69 tahun dari Kampung Telok Gong,
menyifatkan bantuan dari program Jom Shopping Bantuan Raya yang
diterimanya itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR)
merealisasikan slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor, walaupun hanya baru
lima tahun mentadbir Selangor.
Shamsuddin juga memberitahu sebelum ini beliau juga merupakan
penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) hanya selepas 54 tahun Umno-BN
mentadbir negara.
Beliau turut menganggap perkembangan tersebut merupakan satu
persaingan sihat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam
memberi pelbagai bantuan kepada rakyat Selangor.
0 comments:
Post a Comment